1.1 KONSEP FIZIK

 

FENOMENA FIZIK

  1. Fizik berasal daripada perkataan Yunani, "physikos" yang bermakna alam semesta

  2. Fizik merupakan kajian tentang struktur dan sifat jirim yang amat besar seperti bintang dan planet di cakerawala hingga zarah-zarah yang amat seni seperti proton dan neutron dalam nukleus

  3. Fizik ialah satu cabang sains yang mengkaji fenomena-fenomena alam sekeliling kita. Fenomena alam ialah kejadian semulajadi yang dapat diperhatikan melalui pelbagai deria manusia

  4. Contoh fenomena alam adalah

    a. panjang bayang-bayang berubah dari pagi hingga petang

    b. pelangi mempunyai tujuh warna

    c. melihat kilat sebelum mendengar guruh

    d. gerhana matahari dan bulan

     

     

  5. Ahli fizik sentiasa membuat pemerhatian terhadap fenomena-fenomena alam dan hasil penemuan ini telah mendorong untuk mencipta pelbagai bahan dan alat yang baru untuk meningkatkan keselesaan kehidupan harian. Contohnya, televisyen, komputer, telefon bimbit.

  6. Pada asasnya, fizik merupakan kajian untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan mengapa dan bagaimana tentang fenomena alam dan kejadian dalam kehidupan harian.

  7. Kebanyakan fenomena alam dan kejadian dalam kehidupan harian dapat diterangkan dengan konsep fizik.

 

JADUAL 1.1

FENOMENA ALAM KONSEP FIZIK
Pembentukan bayang-bayang Cahaya merambat dalam garis lurus
Bunyi petir kedengaran selepas cahaya kilat Bunyi merambat lebih lambat berbanding dengan cahaya

 

 

JADUAL 1.2

KEJADIAN DALAM KEHIDUPAN HARIAN KONSEP FIZIK
Sukar berjalan di atas lantai yang licin Sifat daya geseran
Telefon bimbit berfungsi tanpa wayar Aplikasi gelombang elektromagnet

 

KONSEP FIZIK

  1. Bidang fizik merupakan pengelasan ilmu fizik mengikut bidang seperti mekanik, haba, bunyi, optik, elektrik, keelektromagnetan, fizik atom dan sebagainya.

  2. Kini hukum-hukum fizik telah merangkumi skop yang sangat luas dan berjaya diaplikasikan dalam pelbagai teknologi kerana fokus fizik adalah kepada asas sebenar, bagaimana alam semulajadi berfungsi.

  3. Sebagai satu bidang ilmu yang berasaskan eksperimen, kaedah fizik merangkumi :

    a. Pemerhatian - pemerhatian secara teliti dengan pelbagai deria terhadap fenomena alam sekitar dan kehidupan harian

    b. Eksperimen - eksperimen direka bentuk bagi mengkaji ciri-ciri fenomena yang diperhatikan untuk mendatangkan suatu kesimpulan tertentu

    c. Teori - setelah menjalankan banyak eksperimen dan menganalisis hasil eksperimen dengan berhati-hati, suatu pola atau keputusan yang tertentu akan diperolehi. Kesimpulan berkenaan dengan pola atau keputusan ini menjadi suatu teori.

    d. Eksperimen lanjutan - teori yang dibentukkan akan diuji dalam situasi-situasi yang berlainan. Jika dalam setiap situasi, teori itu adalah sah, teori tersebut diterima. Jika tidak, ujian lanjutan diperlukan. Teori itu perlu diubahsuaikan.

 

KEPENTINGAN FIZIK

  1. Kemampuan fizik untuk meramalkan bagaimana alam semulajadi bertindak balas berasaskan kajian dan eksperimen menjadikan bidang tersebut nadi teknologi moden yang mendatangkan impak yang sangat besar kepada kehidupan manusia

  2. Bidang fizik berkembang pesat dan kefahaman yang mendalam tentang fenomena alam membantu manusia menciptakan teknologi yang memanfaatkan manusia.

  3. Pelbagai kemajuan dalam sains dan teknologi telah dibawa oleh apliksi ilmu fizik. Berikut ialah beberapa contoh sumbangan fizik kepada manusia.

JADUAL 1.3

BIDANG ILMU FIZIK CIPTAAN ALAT
Pengenalan kepada fizik Jam, pembaris, neraca
Daya dan gerakan Kereta, roket dan jambatan
Sifat jirim Kapal terbang, menara berkembar petronas, empangan dan kapal selam
Haba dan tenaga Termometer, peti sejuk, enjin haba, dan penyaman udara
Cahaya dan penglihatan Kamera, teleskop, endoskop, mikroskop
Gelombang Pembesar suara, telefon bimbit, satelit
Elektrik dan keelektromagnetan Litar lampu hiasan, motor, dinamo, transformer
Elektronik Komputer, alat elektronik, lampu isyarat
Keradioaktifan Reaktor nuklear, tiub GM

 

  1. Ahli-ahli sains daripada bidang-bidang lain mengaplikasikan idea-idea yang diperkembangkan dalam bidang ilmu fizik untuk menjalankan penyelidikan lanjutan dan seterusnya membina ilmu sains baru

 

KAEDAH MENGKAJI FIZIK

  1. Manusia sentiasa ingin tahu tentang keajaiban alam sekitar. Manusia juga ingin tahu bagaimana sesuatu fenomena alam berlaku.

  2. Manusia mencari jawapan dengan suatu kaedah penyiasatan yang sistematik.

  3. Penguasaan kemahiran saintifik amat diperlukan untuk mengkaji, memahami dan mengaplikasikan konsep dan prinsip fizik.

  4. Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.

JADUAL 1.4

KEMAHIRAN PROSES SAINS KEMAHIRAN MANIPULATIF SIKAP SAINTIFIK DAN NILAI-NILAI MURNI
 

Memerhati

Mengelaskan

Mengukur dan menggunakan nombor

Membuat inferens

Meramal

Berkomunikasi

Menggunakan perhubungan ruang dan masa

Mentafsir data

Mendefinisi secara operasi

Mengawal pembolehubah

Membuat hipotesis

Mengeksperimen

 

Menggunakan dan mengendalikan bahan, spesimen dan peralatan makmal dengan cara betul dan selamat

Menyimpan dan membersihkan bahan dan peralatan makmal dengan cara yang betul dan selamat

Melakar spesimen peralatan dan bahan sains dengan tepat

Menggunakan teknik yang sesuai untuk merekod pemerhatian

Minat dan bersifat ingin tahu tentang alam sekitar

Jujur dan tepat dalam merekod dan mengesahkan data

Rajin dan tabah dalam menjalankan atau menceburi sesuatu perkara

Bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan rakan serta terhadap alam sekitar

Menghargai dan mengamalkan kehidupan yang bersih dan sihat

 

  1. Kemahiran proses sains merupakan satu proses pemikiran kritis, kreatif, analitis dan sistematik. Kemahiran manipulatif pula merupakan kemahiran psikomotor dalam penyiasatan sains.

  2. Penguasaan kedua-dua kemahiran proses sains dan kemahiran maniplulatif serta amalan sikap saintifik dan nilai-nilai murni dapat memperkembangkan potensi seorang pelajar untuk berfikir dan berkelakuan seperti seorang saintis.

  3. Kaedah saintifik -  Ahli fizik membina hipotesis untuk cuba menerangkan fenomena alam. Hipotesis yang disokong melalui eksperimen dikenali sebagai hukum atau prinsip. Sekiranya terdapat mana-mana dapatan eksperimen yang bercanggah dengan hukum atau prinsip, maka hukum atau prinsip berkenaan mesti di ubah suai atau ditolak sama sekali.

  4. Sikap saintifik merangkumi aspek emosi dan aspek intelek. Aspek emosi menentukan kesediaan mental untuk menjalankan aktiviti saintifik yang penuh cabaran. Aspek intelek mempengaruhi anda membuat keputusan mengikut keutamaan.

 

KEMBALI KEATAS